Sumber: Majalah Solusi (edisi ke-5)
3:19 PM | Posted in Artikel semasa
Bahang kebencian Umat Islam kepada Yahudi bukan sekadar panas biasa. Pijarnya sama sekali tidak sama dengan bahang gurun Sahara yang membentang pada bumi negara-negara Arab termasuklah tanah suci Bait al-Maqdis yang dicemari kerakusan Yahudi. Ia lebih dari itu. Kebencian itu bukannya dibuat-buat atau baru sahaja muncul pada ladang hati umat Islam. Ia subur dibaja dengan iman, kerana ia perintah Allah dan pesan Nabi Junjungan.
Saban hari, kita disajikan dengan berita dari Palestin yang tiada henti memaparkan kezaliman Israel menumpah darah kaum Muslimin yang tidak berdosa. Dari pelbagai sudut dunia, umat Islam hanya bangun dengan kecaman, demontrasi dan pelbagai lagi usaha demi menzahirkan kebencian mereka kepada Yahudi yang sudah pasti tidak sedikitpun menggentarkan bangsa angkuh itu. Lemahnya umat ini tidaklah perlu lagi diulas, ditambah dengan kerajaan-kerajaan Arab yang memang tidak tahu apa erti wehdah!
Di celahan usaha-usaha kerdil umat Islam ini, terdapat usaha yang digerakkan oleh beberapa pihak untuk mengenakan tindakan berbentuk ekonomi yang diharapkan memberi kesan kepada Yahudi. Sifir mereka mudah, boikot sahaja barangan sekutu Yahudi, iaitu Amerika, pasti berkuranganlah duit untuk membantu Yahudi. Sama dengan; jangan lagi membeli barangan buatan Amerika, nanti tiada keuntungan akan tersalur ke tangan Yahudi. Tahniah, idea yang diharapkan berjaya, walaupun sudah bertahun ia diuar-uarkan.
Memahami Dasar Pemboikotan
Dalam apa-apa tindakan kita sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh lari daripada kerangka dasar yang mengikat kita, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Justeru, tindakan kita memboikot barangan produk Yahudi dan sekutunya Amerika merupakan suatu yang dituntut oleh Islam. Imam al-Bukhari telah meletakkan satu subtopik dalam kitabnya, Sahih al-Bukhari:
بَاب الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ مَعَ الْمُشْرِكِينَ وَأَهْلِ الْحَرْبِ
Maksud: Bab berjual beli dengan orang-orang musyrikin dan mereka yang memerangi Islam.
Di dalamnya, al-Bukhari merekodkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Abi Bakr:
كُنَّا مَعَ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - ثُمَّ جَاءَ رَجُلٌ مُشْرِكٌ مُشْعَانٌّ طَوِيلٌ بِغَنَمٍ يَسُوقُهَا فَقَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - « بَيْعًا أَمْ عَطِيَّةً أَوْ قَالَ أَمْ هِبَةً » . قَالَ لاَ بَلْ بَيْعٌ . فَاشْتَرَى مِنْهُ شَاةً
Maksud: Sesungguhnya kami duduk bersama dengan Nabi s.a.w. kemudian datanglah seorang lelaki Musyrik yang rambutnya kusut masai dan panjang dengan seekor kambing yang dia gembala. Maka Nabi bertanya: “(Adakah kambing ini) Dijual atau diberikan?” (atau perawi syak; adakah ia hadiah?) Dia menjawab, “Tidak, bahkan dijual.” Maka, Nabi pun membeli daripadanya seekor kambing. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, jil. 8, hlm. 196, No. Hadith: 2216)
Imam al-Nawawi ketika menghuraikan persoalan tentang bolehkah bertransaksi dengan orang-orang yang memerangi Islam, telah menyatakan: “Telah sepakat orang-orang Islam ke atas keharusan untuk berurus niaga dengan Ahli Zimmah (orang-orang yang mengikat janji dengan Kerajaan Islam), dan selain daripada mereka yang terdiri daripada orang-orang Kafir, selagi mana ia tidak melibatkan barangan yang haram. Tetapi tidak harus untuk seorang Islam untuk menjual senjata atau peralatan perang kepada orang-orang kafir yang memerangi Islam, dan tidak boleh bertransaksi dengan apa-apa yang membantu dalam menegakkan agama mereka.” (al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ala Muslim, jil. 5, hlm. 478)
Perlu difahami bahawa, hukum asal berurusniaga dengan orang-orang kafir (termasuk yang memerangi Islam) adalah harus dengan syarat barangan itu halal di sisi Islam. Ia menjadi haram sekiranya keuntungan dan manfaat dari transaksi itu digunakan untuk memerangi Islam sama ada secara langsung atau tidak. Justeru, pemboikotan barangan Amerika dan Yahudi pada hari ini sangatlah bertepatan, kerana mereka sangat memberi komitmen kewangan kepada negara Yahudi, ISRAEL. Ia sesuatu yang tidak boleh disangkal!
Boikot yang selektif
Bagaimanapun, terdapat suatu yang pelik dan menghairankan. Pada kali ini, tahun 2009, hanya produk tertentu yang disenarai hitamkan. Antaranya minuman berkarbonat, satu jenama kopi, satu jenama ubat gigi dan beberapa lagi produk bergantung kepada badan penganjur kempen boikot tersebut. Benar, kempen ini merupakan kelangsungan pada siri kempen sebelumnya, tetapi hakikatnya bagaikan terdapat sesuatu yang perlu difikirkan.
Mengapa pada tahun 2009 ini, dua restoran makanan segera yang menjadi ikon Amerika tidak turut diboikot oleh persatuan yang menganggap dirinya pembela pengguna Muslim? Adakah kerana ada parti tertentu yang berada di belakang rangkaian restoren tersebut? Mengapa pula hanya jenama ubat gigi itu sahaja yang diboikot, sedangkan syarikat seumpamanya lebih banyak menghasilkan produk kegunaan harian yang perlu juga diboikot. Adakah kerana ubat gigi itu adalah pesaing kepada syarikat ubat gigi yang menaja nadi hidup persatuan pengguna itu?
Sebenarnya, apakah dan siapakah yang perlu diboikot? Dalam menjawabnya, janganlah ada kepentingan yang menjadi pertimbangan. Janganlah sentimen kebencian kepada Yahudi menjadi modal kita untuk popular ataupun sebagai jalan merintis kemajuan perniagaan. Berfikirlah dengan lebih teliti, agar usaha yang digerakkan dapat memberi kesan yang lebih efektif dan meyakinkan. Biarlah keikhlasan menjadikan niat kita bersih dalam medan jihad ini, bukannya menanti pada habuan perang!
Boikotlah Hedonisme
Persoalan yang ingin dibawa, mengapa tidak diboikot hodonisme? Ia adalah benar-benar milik Amerika dan juga Yahudi. Apakah itu hedonime? Mungkin ada yang bertanya, apakah dia hedonisme; walaupun warna hidupnya larut dalam gula manis hedonisme itu sendiri. Hedonisme adalah kegilaan untuk hidup bergembira dan kehendak untuk bersuka ria tanpa batas. Wadahnya mudah ditelah, iaitu hiburan tanpa sudah. Wahananya pelbagai, namakan sahaja, dari elektronik hinggalah yang bercetak. Hiburan, suka ria, pesta, konsert, gaya hidup bebas, seks bebas, dan segala suku sakatnya. Ikonnya siapa lagi kalau bukan artis, pelakon, bintang sukan dan selebriti. Hedonisme ini membudaya, dibawa oleh Amerika dan Yahudi ke negara-negara Islam. Jangan lupa, rokok juga termasuklah dalam pakej ini.
Mengapa NGO-NGO dan parti politik ini tidak berkempen besar-besaran agar memboikot semua produk Hollywood dan produk tembakau Amerika? Mengapa tidak dijaja kepada masyarakat bahawa membeli tiket wayang untuk menonton filem hollywood bermakna memberikan duit untuk Yahudi membeli peluru menembak kepala anak-anak kecil Islam di Palestin? Mengapa tidak dikhabarkan di media bahawa membeli rokok bermaksud menghantar wang untuk Yahudi merobek daging umat Islam dengan peluru-peluru?
Mengapakah begitu? Mungkin, mata-mata yang menangis menonton berita kedahsyatan Israel membunuh umat Islam di Palestin inilah yang masih terjegil menonton skrin lakon layar hallywood yang memaparkan pelbagai aksi ganas dan keghairahan seksual. Juga, mungkin mulut-mulut yang tak henti mencaci Yahudi dan mengutuk pemimpin Arab itulah yang tidak henti-henti menyumbat paru-parunya dengan asap busuk rokok.
Dua ikon besar Yahudi ini tidak diboikot besar-besaran. Tiada kempen tentangnya. Sedangkan, itulah industri besar Yahudi yang masuk ke rumah ramai orang Islam di Malaysia menerusi pakej saluran filem yang dibayar ke syarikat TV satelit. Benarlah, kempen kita adalah seleksi yang salah.
Hollywood itu Yahudi
Tak perlu lagi menerangkan apa kaitan Yahudi dan Hollywood. Sangat jelas buktinya. Baca sahaja karya berikut yang membuktikan perkaitan bangsa terkutuk itu dan monopoli mereka dalam industri Hollywood:
a. Paul Buhle, 2004, From the Lower East Side to Hollywood: Jews in American Popular Culture, Verso.
b. Neal Gabler, 1989, An Empire of Their Own: How the Jews Invented Hollywood, Doubleda.
c. Benjamin Blech, 2004, The Complete Idiot’s Guide to Jewish History and Culture, Alpha Books.
d. J. J. Goldberg, 1997, Jewish Power: Inside the American Jewish Establishment, Addison-Wesley.
Puluhan lagi karya yang lain yang menjelaskan secara terperinci bagaimana Hollywood yang awalnya membenci Yahudi diambil alih oleh bangsa itu, sehingga kini menjadi agen utama perang sarafnya. Sebut sahaja apa nama filem yang dihasilkan Hollywood, pernahkah memuliakan Islam? Jelas, semuanya racun Yahudi untuk memerangi Islam, merosakkan akhlak kita juga melunturkan iman!
Jernihkan kempen ini…
Usah kalut membicarakan soal boikot produk Amerika kalau anak kita masih gemar ke panggung wayang menonton filem keluaran Hollywood = YAHUDI. Usah lancang menuduh negara Arab tidak berbuat apa-apa jika mulut kita masih kuat berbau rokok walaupun ketika solat. Jangan ghairah bercakap soal kemanusiaan yang hilang di Palestin, kalau masih melanggan saluran Hollywood (HBO, CINE, SMV, AXN, HMK, SWR, E!, MTV, [V]) menerusi TV satelit di rumah sendiri. Tahukah kalian, setiap satu sen itu memasuki poket Yahudi. Lebih besar dari nilai produk makanan dan penjagaan diri yang lain.
Tindakan kita: Boikot semua filem Hollywood di panggung wayang, batalkan langganan pakej movie dan pakej berkaitan dari stesyen TV satelit serta haramkan diri daripada merokok!