Monday, December 20, 2010

Huraian ayat 12 Surah Al-Hujurat -Bahaya Lidah

DI ANTARA BAHAYA LIDAH
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu 'Ala Rasulillah, Wa'alaa Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Di antara salah satu ajaran Islam kepada penganutnya dalam menjaga keharmonian hidup bermasyarakat ialah menjaga lidah daripada menyakiti orang lain terutama terhadap saudara sesama Islam. Bahaya lidah yang tidak bertanggungjawab boleh menggugat keharmonian hidup bernegara, bermasyarakat dan berkeluarga. Berapa banyak penganiayaan, kezaliman, keruntuhan rumahtangga dan permusuhan dan akhirnya pembunuhan berlaku hanya disebabkan oleh lidah?

Maka tidak hairanlah, di dalam agama Islam, seorang yang tidak menjaga lidahnya iaitu berkata-kata tanpa memikirkan akibat buruk dari kata-katanya boleh menjerumuskannya masuk ke neraka seperti kata-kata yang membawa kufur. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawasanya dia mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

"Sesungguhnya adakalanya seorang hamba (Allah) yang bercakap satu ucapan yang menyebabkan dia terjerumus ke dalam api neraka yang dalamnya lebih jauh dari jarak di antara timur dan barat."
(Hadits riwayat Muslim)

Manakala di dunia pula hukum syara' telah menetapkan bahawa disebabkan oleh lidah seseorang itu boleh dijatuhi hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali akibat kata-kata yang dikeluarkannya seperti menuduh seseorang berzina tanpa membawakan empat orang saksi. Firman Allah Ta'ala dalam surah An-Nur ayat 4 yang tafsirnya: "Dan orang-orang yang melimparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka itu lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang fasik."

Oleh kerana itu, syara' menegaskan bahawa berita-berita yang dibawa oleh lidah-lidah yang fasik, hendaklah dipastikan dahulu kesahihan dan kebenarannya, kerana mempercayai berita-berita yang tidak dipastikan kesahihannya itu boleh mengakibatkan kezaliman dan penyesalan.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang Tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."


Memang tidak dapat dinafikan bahawa untuk memelihara lidah dari mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah dan yang dilarang oleh syara' adalah suatu perkara yang bukan mudah. Kadang-kadang secara tidak langsung dan tanpa disedari dalam percakapan seharian kita, terkandung kata-kata yang dilarang oleh syara'. Oleh kerana itu sebagai jalan selamat, syara' sejak dari mula lagi menganjurkan kepada kita agar tidak terlalu banyak bercakap kecuali percakapan yang jelas ada manfaatnya. Bahkan apabila berdiam diri itu sama saja manfaatnya dengan manfaat menuturkan percakapan, maka dalam kedudukan begini, adalah disunatkan bagi seseorang itu untuk diam sahaja. Sebab kadang-kadang apabila percakapan yang harus itu tidak dapat dikawal, ia boleh membawa kepada yang haram dan dilarang oleh syara'.

Pada kebiasaannya kata-kata yang haram itu bermula dengan cara yang sedemikian. Maka justeru itu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhialallahu 'anhu yang maksudnya: "Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia (bila berkata-kata) berkata yang baik atau diam sahaja."
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Ajaran Islam menghendaki hubungan sesama manusia terutama saudara Islam itu terselamat daripada segala penganiyaan sama ada berbentuk perbuatan atau perkataan. Orang Islam yang lebih utama ialah mereka yang memegang prinsip sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy'ari Radhiallahu 'anhu berkata yang maksudnya:

"Wahai Rasulullah! Orang muslimin yang bagaimanakah yang paling afdhal (utama)?" Nabi bersabda: "Orang yang orang-orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tangannya."
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadits lain pula diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
"Daripada keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa saja yang tidak berguna."
(Hadits riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Hadits ini menurut kebanyakan huraian ulama lebih banyak memperkatakan hal-hal yang bersangkutan dengan percakapan, sekalipun pengertiannya lebih umum. Ini disebabkan akibat buruk yang ditimbulkan oleh lidah atau perkataan amatlah besar bencananya. Oleh itu pengertian 'meninggalkan yang tiada berguna' adalah diutamakan di dalam perkara meninggalkan percakapan yang sia-sia atau yang tidak berfaedah atau meninggalkan percakapan yang boleh menyebabkan terjadinya fitnah dan permusuhan.

Dari pandangan syarak, dalam kebanyakan percakapan atau perbualan manusia itu tidak ada yang lebih baik daripada percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 114 yang tafsirnya:
"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali (bisikan-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia."


Ini ditegaskan lagi dari sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah, isteri Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam daripada Nabi Sallallah 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

"Setiap percakapan anak Adam (seseorang) itu berakibat buruk, tidak membawa faedah kecuali (percakapan) yang menyeru kepada kebaikan, yang mencegah daripada kemungkaran dan yang mengingati Allah."
(Hadits riwayat Tirmidzi)

Salah satu daripada keburukan yang banyak dilakukan oleh lidah dan banyak tersebar di dalam masyarakat ialah mengumpat. Mengumpat itu dilarang di dalam Islam. Ia dikenal dalam bahasa arab dengan panggilan ghibah.

Ghibah adalah haram dengan ittifaq para fuqaha, bahkan setengah ahli tafsir dan fuqaha berpendapat ia termasuk di antara dosa-dosa besar berdasarkan

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang tafsirnya :

"Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan- larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani."


Memang selayaknya orang yang mengumpat itu diumpamakan seperti memakan daging mayat saudaranya sendiri. Ini menunjukkan bahawa betapa perbuatan mengumpat itu adalah perbuatan yang dibenci oleh syara' sebagaimana tabiat semulajadi manusia membenci memakan bangkai mayat manusia. Di akhirat nanti orang yang mengumpat ini akan menerima balasan yang setimpal sebagaimana yang diriwayatkan dAnas bin Malik yang berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam yang maksudnya:

"Tatkala aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga yang mengoyak-ngoyak wajah dan dada mereka dengan kuku itu, lalu aku bertanya: "Siapakah mereka itu wahai Jibril?" Jibril menjawab: "Mereka adalah orang-orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan (merendahkan) kehormatan mereka."
(Hadits riwayat Abu Daud)

No comments:

Post a Comment