Tuesday, February 18, 2014

Antara kita ada "Dia" - Kuliah Maghrib Ustaz Sharhan Shafie (Perubatan Islam)

Assalamualaikum,

Selepas solat magrib semalam (17Feb'14) di masjid jamek sungai tiram, diadakan kuliah magrib daripada seorang penceramah jemputan yang tersohor mengenai perubatan islam iatu Ustaz Sharhan Shafie. Bermula santai penceritaan kisah bagaimana nabi ayub diuji keimanan oleh syaitan laknatullah sehingga diserang penyakit barah kepala yang amat dasyat. Ada pendapat mengakatakan penyakit itu berterusan selama 17 tahun, ada satu lagi pendapat mengatakan selama 42 tahun. Begitu lama penderitaan Nabi Ayub sehingga malaikat berjumpa Allah supaya menyembuhkan penyakit nabi ayub. Di bawah adalah doa nabi ayub kepada Allah dengan cara memuji Allah tanpa disedari oleh malaikat yang itu adalah suatu doa.

Ceramah diteruskan dengan menayangkan beberapa klip video daripada pusat perubatan beliau untuk menunjukkan betapa besarnya kehebatan kalamullah. Beregegarlah jin-jin yang menakluki tubuh manusia apabila kalamullah didengarkan.

Dalam masa kami diijazahkan beberapa doa, terdapat dua jemaah perempuan yang meracau dipercayai daripada jin-jin yang tidak selesa kerana terasa terganggu. Ada yang mengilai seperti pontianak dan satu lagi cakap orang putih memarahi ustaz. Walau bagaimana pun ustaz kelihatan tenang dan jemaah ini dibawa ke satu bilik untuk dirawat. Keadaan panas seketika dan kami meneruskan ceramah sehinggalah selesai lebih kurang pada pukul 10 malam. Banyak ilmu yang telah diijazahkan pada malam itu dan saya rasa sangat beruntung kepada jemaah yang hadir.

Semoga kita penuhkan majlis-majlis ilmu di masjid atau surau untuk menuntut ilmu dan semoga mendapat keberkatan daripada-Nya,


Doa sebagai antibiotik dan segala penyakit:

Surah Al-Anbiya, Verse 83:
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".

Doa sakit kepala:

Surah Al-Waqia, Verse 19:
لَّا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلَا يُنزِفُونَ
Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.


Monday, February 10, 2014

Laporan Audit Halal di Kafeteria Avago Pada 30 Jan 2014

Perjumpaan antara TIFIZ (Khushairi, Ahmad Nasser & Khairul) dan pihak Kafeteria (Razman) telah diadakan pada jam 10pg di surau lelaki.

Audit tergempar kali ini memfokus kepada:

Status halal ayam yg dibekalkan oleh pembekal 
  • Ada rungutan dan aduan dari pihak pengguna mengatakan 'ternampak' ayam yg tidak disembelih dibawa masuk ke dalam kawasan kafeteria. 
  • Pihak kafeteria tidak menafikan kebarangkalian tersebut dan agak pasti ayam-ayam yang tidak disembelih itu adalah untuk kegunaan jamuan tertentu (bukan utk kegunaan di kafeteria) disebabkan kehabisan stok ayam dalam simpanan MST pada masa itu. Ini terjadi disebabkan 'urgent' request dan salah seorang pekerja dapur non-muslim telah disuruh untuk membeli ayam dari luar tanpa mengambil kira status halal ayam yg dibeli. Menurut mereka ini adalah one-off incident yg tidak akan berulang lagi.
  • Apabila pihak pengurusan kafeteria telah mengetahui hal tersebut, tindakan telah diambil dengan memberi penerangan dan kesedaran kepada tukang masak dan pekerja-pekerja dapur.
  • Tindakan pro-aktif juga telah diambil pihak pengurusan kafeteria dengan menukar pembekal ayam yang sedia ada kepada pembekal baru yang lebih diyakini status halalnya (berkuat kuasa serta merta).

Rumusan daripada perbincangan dan pemeriksaan dapur yang telah dibuat
  • Pembekal ayam yang sedia ada telah ditukar kepada pembekal baru Ara Sejati Enterprise (berkuat kuasa 30-Jan). Lawatan tapak akan dibuat dalam masa terdekat oleh wakil TIFIZ untuk memastikan premis & sembelihan memenuhi kriteria (bersih dan syariah compliance).
  • MST bertanggungjawab memastikan bahan mentah yang halal lagi toyyiban daripada pembekal serta memastikan cara penyediakan makanan yang bersih dan berkualiti.
  • Bahan mentah seperti sayur-sayuran akan dibeli sendiri oleh Hazami (chef merangkap quality control). Pemantauan terhadap kualiti bahan-bahan mentah yang digunakan akan dibuat oleh pengurusan kafeteria sendiri secara berterusan.
  • Kelengkapan yang perlu bagi penyedia2 makanan serta chef akan disediakan oleh pihak pengurusan kafeteria spt apron, penutup kepala, dsb.
  • Pihak pengurusan kafeteria mencadangkan agar pihak TIFIZ memperbanyakkan lagi kekerapan in-prompt-to audit. Idea tersebut disokong dan disambut baik oleh wakil2 TIFIZ.
  • TIFIZ akan membentuk sebuah audit kommiti supaya activiti seumpama ini akan lebih tersusun dan berkesan.
Antara gambar-gambar sepanjang audit dilakukan.


Sayur-sayur  yang diambil dari pembekal

Resit belian Ayam dari pembekal lama dan bisnes kad pembekal baru

Ayam dari pembekal lama yg diragui status "halal"

Ayam baru setelah siap diproses utk dimasak
Kawasan persekitaran kafeteria

Tukang masak bersedia untuk memasak

Sayur-sayur yang telah siap dipotong


Barakallahu fiik..





Minit Mesyuarat Rombakan Kabinet TIFIZ 1434h dan Perlantikan Kabinet Baru 1435h

Ucapan pendahuluan dan dasar TIFIZ oleh YDP 1434h, Ustaz Khushairi. 
  • TIFIZ adalah seperti badan NGO dalam Avago dan sekitarnya yang menyediakan platform untuk semua ahlinya membuat amal jariah dan amalan kebaikan. 
  • Beliau nenyatakan sebanyak 80% daripada aktiviti TIFIZ telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya bagi tahun 1434h. 
  • Saudara YDP juga merakamkan berbanyak-banyak perhargaan bagi semua pihak yang terlibat secara langsung atau dibalik tabir, terutamanya warga cabinet TIFIZ yang memberi sokongan dan komitmen yang jitu bagi menjayakan aktiviti TIFIZ. 
  • Antara aktiviti terkini dan sangat menarik adalah sumbangan RM750 utk PERKIM. - Next aktiviti dgn PERKIM--> Wong Kim Lai MCPD Engineer berminat utk mengenali ISLAM. Harap dapat dibantu dengan sebaik-baiknya. 

INFO Tabung INFAQ. 
  • Baki didalam Bank = RM1772.15 
  • Jumlah terkini Tabung surau = RM106.00
  • Jumlah pada PC(petty cash) = RM342.00
  • Jadi totalnya adalah sebanyak RM2,220.15 (Akuan disahkan saudara Aznan)

Pembubaran AJK TIFIZ 2013 
  • Terus saja dicadangkan Ust Khairul sebagai YDP sementara oleh saudara Aznan. 
  • Semua ahli bersepakat dan bersetuju dengan cadangan dan lantikan tersebut. 

Senarai cadangan dan pemilihan Organisasi Chart TIFIZ bagi tahun 1435h.
  • YDP : Ust. Khairul Rizal Jahari 
  • Timbalan YDP : Syahrim Ab Karim. 
  • Setiausaha : Harizan Ismail
  • Bendahari : Ahmad Nasser Osman. 
  • Pemeriksa Kira-Kira : Aznan Ramli. 
  • Penerbitan dan Penerangan : Mohd Rahimie Abd Rashid. 
  • AJK Dakwah: Syahrim Ab Karim(Pulau)/ Mohd Fazli Hasan (Seberang). 
  • Pengurus Projek : Nasir Haron 
  • Penasihat utama: YDP,Timbalan YDP, Aznan, Nazmi, Ahmad Nasser, Fazli dan semua ahli TIFIZ. 
  • Rujukan pihak muslimat: Pn. Julaiha 

Perkara-perkara berbangkit. 
  • sumbangan pada PERKIM RM750. 

  • Sambungan pada project PERKIM. - Perlu sokongan dan komitmen dari ahli utk menyertai dan meraikan aktiviti TIFIZ. 
  • Ex YDP, ex timbalan YDP dan YDB baru melahirkan rasa concern utk penambahbaikan TIFIZ utk aktiviti dalaman dan luaran.
  • Cadangan pada 1435h - Aktiviti bersama Chinese dan Indian muslim + PERKIM - Aktiviti-aktiviti lain.
YDP baru menangguh meeting dgn tasbih kaffarah dan surah al-asr.  

Muafakat membawa berkat.


Monday, June 27, 2011

Isra' Mikraj

Isra’ Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnyadibalut keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan.Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang.Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya.Selama ini, rasa segan terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu.Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada sesiapa pun yang berani menyentuh baginda.

Tetapi keadaan telah berubah kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda telah hilang.

Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai ‘Tahun Kesedihan’ (‘amul huzni).

Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah.

Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil.

Kini, menjelang dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.

Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu, maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit tertinggi.

Isra’ Mi’raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah.

Ertinya, Isra’ Mi’raj adalah ‘turning point’, titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.

Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama.

Yang kedua, Isra’ Mi’raj adalah satu ‘turning point’ di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.

Tiga pihak, dua kejadian

Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal ‘mewajibkan’ solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut.

Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini.

Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda.

Lalu, terfikir di benak baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat ibadat tersebut.

Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, “Ummati.. as-Solah..” (Umatku.. sembahyang..)

Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan malaikat bersujud hingga baginda tentang bagaimana mahu umatnya bersujud sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat.

Tetapi, amalan berat seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut.

Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.

Pembebasan Palestin

“Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya.” (Surah al-Isra’: 1)

Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa a.s dilahirkan).

Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.

Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.

Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

Syahadan, mungkin tak perlu diletakkan perihal mi’raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.

Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara. Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat untuk diketahui.

Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum, tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan mendarat.

Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi’raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra’ (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai.

Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra’ Mi’raj, solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga, Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.

Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta ‘berkenalan’ terlebih dahulu dengan kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.

Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum ini.

Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu, Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, “Inilah nantinya yang akan menjadi kiblat umatmu kelak!”

Mirip kisah tarbiyah Musa – Khidhir

Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang baginda lihat.

Diriwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya.

Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah berbau busuk.

Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang sedang berada di Baitul Ma’mur bersama beberapa kaumnya.

Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu bebanan. Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.

Demikian iktibar ke atas penguasa yang tidak kuat menanggung amanah rakyat, tapi masih sanggup lagi menanggung amanah rakyat yang akhirnya menyebabkan mereka menderita azab yang parah di akhirat kelak.

Demi sesungguhnya, iktibar dan pengajaran Isra’ Mi’raj ini tak akan sampai tamat diulas kerana falsafahnya sangatlah kaya sekali sehinggakan kita tidak akan jemu-jemu meneliti kisah ini.

Sebuah kisah yang sarat dengan inti pengajaran dan padat dengan iktibar khususnya kepada pemerintah yang masih enggan menginsafi segala kejahatan yang dilakukannya selama ini sehingga mengundang musibah besar ke atas rakyatnya pula.

Wednesday, April 13, 2011

Program lawatan ke Pusat Penjagaan Warga Emas (Darul Hanan)



Alhamdulillah pada 10-April 2011 (Ahad), pihak Tabung Infaq telah melawati Darul Hanan sambil menghulurkan sedikit bantuan bekalan makanan untuk menampung kekurangan di pusat tersebut. Pihak tabung infaq telah mengeluarkan sebanyak RM500 untuk tujuan tersebut.



Berikut adalah serba sedikit mengenai Pusat Darul Hanan.

- Darul Hanan baru setahun ditubuhkan. Keluasan tanah – 8 ekar.

- Total warga emas – 30 org (11 lelaki & 19 wanita)

- Mendapat sedikit sumbangan dari Pusat Zakat dan digunakan utk pengurusan, bil2.

- Untuk keperluan harian masih bergantung pada sumbangan orang ramai.

- Antara barangan keperluan yg diperlukan segera adalah Beras dan bahan2 masakan yg lain, sabun/detergent utk mencuci pakaian dan lantai. Dan juga pampers orang dewasa.

- Barang2 yg lain seperti kain pelikat, baju2 bukan keperluan pada masa ini.

- Sumbangan samada dalam bentuk fizikal atau wang juga diterima.




Sumbangan Individu juga amatlah dialu-alukan. Sumbangan boleh dibuat terus kepada pusat Darul Hanan melalui Puan Asnida (019 411 2324) atau Puan Siti Sarah (019 411 2884). Pihak tabung infaq juga menerima sumbangan untuk tujuan ini.

Sebarang sumbangan akan diberikan resit untuk rebat cukai pendapatan.

Monday, March 28, 2011

Program Kursus Jenazah

"SOLATLAH KAMU DIBELAKANG IMAM SEBELUM KAMU DISOLATKAN DIHADAPAN IMAM"


Program ini akan diadakan seprti di bawah:

Tarikh: 9 April 2011 (Sabtu)
Masa : 9am - 2pm
Tempat: Masjid USM Sungai Dua.


Bahan rujukan akan disediakan oleh pihak penganjur.


Drpd,
Pihak pengajur Tabung Infaq FIZ

Monday, December 20, 2010

Huraian ayat 12 Surah Al-Hujurat -Bahaya Lidah

DI ANTARA BAHAYA LIDAH
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu 'Ala Rasulillah, Wa'alaa Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Di antara salah satu ajaran Islam kepada penganutnya dalam menjaga keharmonian hidup bermasyarakat ialah menjaga lidah daripada menyakiti orang lain terutama terhadap saudara sesama Islam. Bahaya lidah yang tidak bertanggungjawab boleh menggugat keharmonian hidup bernegara, bermasyarakat dan berkeluarga. Berapa banyak penganiayaan, kezaliman, keruntuhan rumahtangga dan permusuhan dan akhirnya pembunuhan berlaku hanya disebabkan oleh lidah?

Maka tidak hairanlah, di dalam agama Islam, seorang yang tidak menjaga lidahnya iaitu berkata-kata tanpa memikirkan akibat buruk dari kata-katanya boleh menjerumuskannya masuk ke neraka seperti kata-kata yang membawa kufur. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawasanya dia mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

"Sesungguhnya adakalanya seorang hamba (Allah) yang bercakap satu ucapan yang menyebabkan dia terjerumus ke dalam api neraka yang dalamnya lebih jauh dari jarak di antara timur dan barat."
(Hadits riwayat Muslim)

Manakala di dunia pula hukum syara' telah menetapkan bahawa disebabkan oleh lidah seseorang itu boleh dijatuhi hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali akibat kata-kata yang dikeluarkannya seperti menuduh seseorang berzina tanpa membawakan empat orang saksi. Firman Allah Ta'ala dalam surah An-Nur ayat 4 yang tafsirnya: "Dan orang-orang yang melimparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka itu lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang fasik."

Oleh kerana itu, syara' menegaskan bahawa berita-berita yang dibawa oleh lidah-lidah yang fasik, hendaklah dipastikan dahulu kesahihan dan kebenarannya, kerana mempercayai berita-berita yang tidak dipastikan kesahihannya itu boleh mengakibatkan kezaliman dan penyesalan.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 6 yang Tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."


Memang tidak dapat dinafikan bahawa untuk memelihara lidah dari mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah dan yang dilarang oleh syara' adalah suatu perkara yang bukan mudah. Kadang-kadang secara tidak langsung dan tanpa disedari dalam percakapan seharian kita, terkandung kata-kata yang dilarang oleh syara'. Oleh kerana itu sebagai jalan selamat, syara' sejak dari mula lagi menganjurkan kepada kita agar tidak terlalu banyak bercakap kecuali percakapan yang jelas ada manfaatnya. Bahkan apabila berdiam diri itu sama saja manfaatnya dengan manfaat menuturkan percakapan, maka dalam kedudukan begini, adalah disunatkan bagi seseorang itu untuk diam sahaja. Sebab kadang-kadang apabila percakapan yang harus itu tidak dapat dikawal, ia boleh membawa kepada yang haram dan dilarang oleh syara'.

Pada kebiasaannya kata-kata yang haram itu bermula dengan cara yang sedemikian. Maka justeru itu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhialallahu 'anhu yang maksudnya: "Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia (bila berkata-kata) berkata yang baik atau diam sahaja."
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Ajaran Islam menghendaki hubungan sesama manusia terutama saudara Islam itu terselamat daripada segala penganiyaan sama ada berbentuk perbuatan atau perkataan. Orang Islam yang lebih utama ialah mereka yang memegang prinsip sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy'ari Radhiallahu 'anhu berkata yang maksudnya:

"Wahai Rasulullah! Orang muslimin yang bagaimanakah yang paling afdhal (utama)?" Nabi bersabda: "Orang yang orang-orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tangannya."
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadits lain pula diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
"Daripada keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa saja yang tidak berguna."
(Hadits riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Hadits ini menurut kebanyakan huraian ulama lebih banyak memperkatakan hal-hal yang bersangkutan dengan percakapan, sekalipun pengertiannya lebih umum. Ini disebabkan akibat buruk yang ditimbulkan oleh lidah atau perkataan amatlah besar bencananya. Oleh itu pengertian 'meninggalkan yang tiada berguna' adalah diutamakan di dalam perkara meninggalkan percakapan yang sia-sia atau yang tidak berfaedah atau meninggalkan percakapan yang boleh menyebabkan terjadinya fitnah dan permusuhan.

Dari pandangan syarak, dalam kebanyakan percakapan atau perbualan manusia itu tidak ada yang lebih baik daripada percakapan atau perbualan yang membawa kepada mengingat Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.

Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 114 yang tafsirnya:
"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali (bisikan-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia."


Ini ditegaskan lagi dari sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah, isteri Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam daripada Nabi Sallallah 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

"Setiap percakapan anak Adam (seseorang) itu berakibat buruk, tidak membawa faedah kecuali (percakapan) yang menyeru kepada kebaikan, yang mencegah daripada kemungkaran dan yang mengingati Allah."
(Hadits riwayat Tirmidzi)

Salah satu daripada keburukan yang banyak dilakukan oleh lidah dan banyak tersebar di dalam masyarakat ialah mengumpat. Mengumpat itu dilarang di dalam Islam. Ia dikenal dalam bahasa arab dengan panggilan ghibah.

Ghibah adalah haram dengan ittifaq para fuqaha, bahkan setengah ahli tafsir dan fuqaha berpendapat ia termasuk di antara dosa-dosa besar berdasarkan

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang tafsirnya :

"Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan- larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani."


Memang selayaknya orang yang mengumpat itu diumpamakan seperti memakan daging mayat saudaranya sendiri. Ini menunjukkan bahawa betapa perbuatan mengumpat itu adalah perbuatan yang dibenci oleh syara' sebagaimana tabiat semulajadi manusia membenci memakan bangkai mayat manusia. Di akhirat nanti orang yang mengumpat ini akan menerima balasan yang setimpal sebagaimana yang diriwayatkan dAnas bin Malik yang berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam yang maksudnya:

"Tatkala aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga yang mengoyak-ngoyak wajah dan dada mereka dengan kuku itu, lalu aku bertanya: "Siapakah mereka itu wahai Jibril?" Jibril menjawab: "Mereka adalah orang-orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan (merendahkan) kehormatan mereka."
(Hadits riwayat Abu Daud)